PENCARUM DAN CARUMAN LTAT

1. Siapakah Pencarum Wajib?

Pencarum Wajib LTAT terdiri daripada Pegawai Tetap ATM dengan kadar caruman bulanan yang diwajibkan sebanyak 10% dari gaji bulanan dan 15% sumbangan kerajaan secara notional dan Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ATM dengan kadar caruman bulanan yang diwajibkan sebanyak 10% dari gaji bulanan dan 15% sumbangan kerajaan.

2. Siapakah Pencarum Sukarela?

Pencarum Sukarela adalah terdiri daripada Pegawai Angkatan Tetap ATM yang ditauliahkan sebelum 1 Januari 2016, Anggota Kerahan Angkatan Sukarela ATM dan Pegawai Kadet ATM.

3. Bagaimanakah cara untuk menjadi pencarum wajib?

Pegawai Tetap ATM yang ditauliahkan selepas 1 Januari 2016 diwajibkan mencarum dan Anggota Lain-lain Pangkat (LLP) akan menjadi pencarum secara automatik setelah potongan pertama caruman bulanan diterima oleh LTAT dari UGAT. Potongan caruman bulanan akan dibuat ke atas penggajian bulanan anggota dan akan dimajukan setiap bulan oleh UGAT kepada LTAT.

4. Apakah fungsi Akaun 1 dan Akaun 2 pada bahagian caruman ahli?

Berkuatkuasa 1 April 2022, bahagian caruman ahli telah dibahagikan kepada Akaun 1 (60%) dan Akaun 2 (40%). Akaun 1 adalah untuk kegunaan selepas ahli bersara atau tamat perkhidmatan manakala Akaun 2 dibenarkan pengeluaran (mengikut syarat pengeluaran yang ditetapkan) semasa ahli dalam perkhidmatan bagi membantu ahli membuat persediaan sebelum bersara atau tamat perkhidmatan.

FAEDAH-FAEDAH PENCARUM LTAT

1. Apakah faedah-faedah utama menjadi Pencarum LTAT?

i. Dividen Tahunan.

ii. Faedah Kematian akan diberikan kepada waris pencarum yang meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan.

iii. Faedah Hilang Upaya kepada pencarum yang diberhentikan dari perkhidmatan kerana kecacatan tubuh badan atau akal fikiran yang berkekalan.

iv. Pengeluaran sebahagian caruman untuk menampung kos pembelian rumah atau tanah kediaman yang pertama.

v. Pengeluaran sebahagian caruman untuk menunaikan haji bagi pencarum yang menerima Surat Pengesahan Tawaran Menunaikan Ibadah Haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) sahaja.

vi. Pengeluaran sebahagian caruman untuk menyambung pelajaran bagi pencarum yang sedang mengikuti peringkat pengajian tinggi di Universiti Awam Tempatan, bertujuan untuk bayaran balik yuran pendaftaran atau yuran kemasukan tahun pertama.

vii. Pengecualian cukai pendapatan sehingga maksimum RM4,000.00. (Tertakluk kepada pengumuman terkini Kerajaan)

2. Apakah faedah-faedah sampingan sebagai pencarum?

Di antara faedah-faedah sampingan yang telah diwujudkan pada masa kini ialah:

i. Aplikasi MyWIRA atau MyWIRA App adalah inisiatif terbaru yang diperkenalkan untuk kemudahan pencarum LTAT, bagi memudahkan pencarum untuk mengakses maklumat caruman dengan lebih cepat dan mudah. Boleh dimuat turun oleh semua pencarum menggunakan platform Android, iOS atau Huawei secara percuma.

ii. Program Khas Perumahan Perwira Negeri Perak (Segari).

DIVIDEN

Bagaimanakah kadar dividen ditentukan oleh LTAT?

Kadar dividen akan ditetapkan oleh Lembaga Pengarah LTAT dengan nasihat Panel Pelaburan dan pihak Aktuari yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Kadar dividen yang ditetapkan adalah berdasarkan kepada keuntungan pelaburan LTAT bagi tahun berkenaan.

SKIM FAEDAH KEMATIAN DAN HILANG UPAYA

1. Berapakah jumlah bayaran Skim Faedah Kematian atau Hilang Upaya?

Jumlah pemberian di bawah Skim Faedah Kematian Dan Hilang Upaya adalah berasaskan satu rumusan (formula) yang mengambil kira:

i. Faktor yang berdasarkan kepada tempoh pencarum mencarum di LTAT sehingga tarikh pencarum meninggal dunia atau tarikh pemberhentian perkhidmatan atas sebab hilang upaya,

ii. Jumlah caruman terkumpul anggota (Bahagian Ahli)

Jumlah pembayaran di bawah skim ini adalah (i) x (ii)

2. Apakah syarat-syarat untuk mendapatkan bayaran Skim Faedah Hilang Upaya?

Faedah Hilang Upaya adalah berdasarkan pemberhentian yang ditakrifkan sebagai Peraturan 61/(1)(g) dan yang setaraf dengannya iaitu ‘Medical standard is below that required for retention/medically unfit’ atau bersamaan dengan BR 9748 – Article 1014 Invaliding bagi Tentera Laut yang tercatat pada Kenyataan Perkhidmatan anggota iaitu BATD132 dan hendaklah disokong dengan keputusan Lembaga Perubatan iaitu BATF 524/525.

3. Jika pencarum meninggal dunia bagaimanakah wang carumannya dikeluarkan?

Penama atau waris pencarum boleh memohon untuk mengeluarkan caruman dengan mengemukakan dokumen berikut:

i. Borang LTAT/PWCA/14-2/2 (Borang Pengakuan Waris) yang boleh diperolehi melalui kaunter LTAT atau memuat turun dari laman web rasmi LTAT di www.ltat.gov.my.

ii. Menyertakan salinan kad pengenalan pewaris atau penama dan lain-lain dokumen yang berkaitan.

4. Bagaimanakah pewaris atau penama mengetahui tentang caruman atau simpanan yang berada di LTAT?

Pihak penama atau waris akan dihubungi oleh pihak Jabatanarah Rekod dan Pencen (JRP). Oleh yang demikian amatlah penting maklumat waris atau penama yang dikemaskini dimaklumkan kepada JRP, Kementerian Pertahanan.

5. Bagaimanakah untuk membuat pertukaran dan pindaan maklumat waris dalam rekod LTAT?

LTAT merujuk sepenuhnya maklumat waris yang diberikan oleh pihak JRP bagi kes-kes pembayaran kepada waris. Sekiranya terdapat perubahan maklumat waris, pindaan dan pertukaran tersebut hendaklah dibuat di Pasukan masing-masing dimana maklumat tersebut akan dimajukan oleh pasukan kepada pihak JRP.

6. Siapakah yang berhak ke atas caruman anggota tentera yang meninggal dunia dalam perkhidmatan?

Apabila pencarum meninggal dunia, pihak JRP akan memajukan senarai waris-waris yang sah dan berhak kepada LTAT bagi tujuan pembayaran balik wang caruman LTAT. Kebiasaannya waris yang berhak yang dinamakan bagi anggota yang masih bujang adalah ibubapa atau adik-beradik (sekiranya ibubapa telah meninggal dunia). Manakala bagi anggota yang telah berkahwin, waris yang berhak adalah balu/duda dan ibubapa. Terdapat juga kes di mana waris yang dinamakan oleh JRP adalah penjaga yang membesarkan pencarum dan sebagainya tertakluk kepada hasil siasatan/semakan yang dibuat oleh KEMENTAH.

Pecahan peratus kelayakan waris adalah berdasarkan kepada suatu jadual yang telah ditetapkan oleh Lembaga berdasarkan kepada ikatan pertalian waris dan gemulah di mana bilangan tanggungan anak oleh balu juga diambilkira.
Anak di dalam kandungan hanya akan diambil kira dalam pecahan peratus sekiranya maklumat tambahan (Sijil Kelahiran) diserahkan sebelum proses pembayaran dilaksanakan.

CARUMAN SUKARELA

1. Apakah Skim Caruman Sukarela?

Skim Caruman Sukarela adalah suatu skim yang diwujudkan bagi membolehkan Pegawai Angkatan Tetap ATM, Anggota Kerahan Angkatan Sukarela ATM dan Pegawai Kadet ATM membuat simpanan di LTAT.

2. Apakah kelebihan menyertai Skim Caruman Sukarela?

i) Simpanan Tambahan

Skim ini menawarkan peluang kepada pencarum untuk meningkatkan simpanan, bagi memastikan kestabilan kewangan selepas persaraan.

ii) Fleksibiliti untuk Mencarum dan Membuat Pengeluaran

Pencarum boleh merancang kewangan mengikut kemampuan masing-masing dengan jumlah minimum caruman sebanyak RM25.00, tanpa sebarang had maksimum.  Skim ini menawarkan  fleksibiliti sama ada untuk mencarum, atau membuat pengeluaran tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh LTAT.

iii) Faedah Persaraan

Skim ini membantu pencarum untuk membina simpanan persaraan yang lebih kukuh, kerana caruman ini akan menjana pulangan dividen yang dapat menambah dana persaraan.

iv) Dividen

Pencarum sukarela layak menerima dividen yang diisytiharkan oleh LTAT setiap tahun.

v) Faedah Hilang Upaya

Faedah Hilang Upaya akan dibayar kepada pencarum yang diberhentikan atas sebab-sebab kesihatan (disahkan UNFIT oleh Lembaga Perubatan ATM).

vi) Faedah Kematian

Dalam kes kematian pencarum semasa dalam perkhidmatan, Faedah Kematian akan dibayar kepada tanggungan mereka, tanpa mengira kematian tersebut berlaku semasa menjalankan tugas atau sebaliknya.

3. Siapakah yang layak untuk menjadi Pencarum Sukarela?

Skim ini adalah terbuka kepada semua Pegawai Angkatan Tetap ATM yang ditauliahkan sebelum 1 Januari 2016, Anggota Kerahan Angkatan Sukarela ATM dan Pegawai Kadet ATM.

4. Berapakah jumlah minimum dan maksimum bagi Caruman Sukarela?

Jumlah minimum caruman bulanan adalah sebanyak RM25.00 tanpa sebarang had maksimum. Sebarang perubahan (penambahan atau pengurangan) hendaklah dibuat dalam gandaan RM5.00.  Walau bagaimanapun, perubahan tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan potongan gaji oleh Jabatan Arah Urusan Gaji Angkatan Tentera (”UGAT”).

5. Adakah Kerajaan juga menyumbang untuk Pencarum Sukarela?

Tidak. Caruman Sukarela melibatkan caruman ahli sahaja.

6. Adakah caruman sukarela juga terbahagi kepada Akaun 1 dan Akaun 2 dan apakah fungsinya?

Ya, berkuatkuasa mulai 1 April 2022, caruman sukarela juga dibahagi kepada Akaun 1 dan Akaun 2 dengan pembahagian Akaun 1 (60%) dan Akaun 2 (40%). Akaun 1 adalah untuk kegunaan selepas menamatkan perkhidmatan (end of service withdrawal), manakala Akaun 2 boleh dikeluarkan semasa di dalam perkhidmatan (in service withdrawal) dan setiap pengeluaran adalah tertakluk kepada  syarat-syarat yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa.

7. Bolehkah caruman di bawah skim ini dikeluarkan dan apakah syarat-syaratnya?

Ya, caruman di bawah skim ini boleh dikeluarkan. Jumlah minimum pengeluaran yang dibenarkan adalah sebanyak RM100.00. Sebarang penambahan pada jumlah pengeluaran hendaklah dibuat dalam gandaan RM50.00 sehingga maksimum keseluruhan jumlah simpanan. Sekiranya pencarum memilih untuk mengeluarkan sebahagian caruman, jumlah yang boleh dimohon adalah berdasarkan kepada baki mula Akaun 1.

Pengeluaran boleh dibuat pada bila-bila masa, walau bagaimanapun bilangan pengeluaran adalah terhad kepada 2 kali sahaja setiap tahun.

Pencarum boleh memilih sama ada untuk meneruskan caruman atau memberhentikan caruman pada bila-bila masa. Pencarum juga boleh mencarum semula walaupun keseluruhan caruman telah dikeluarkan.

8. Sekiranya saya telah mengeluarkan simpanan Caruman Sukarela buat kali ke-2, adakah saya boleh memohon untuk mencarum semula?

Ya.Berkuatkuasa Februari 2024, LTAT telah melaksanakan penambahbaikan ke atas Skim Caruman Sukarela. Pencarum boleh meneruskan keahlian walaupun  selepas membuat 2 kali pengeluaran dalam tahun yang sama.

Walau bagaimanapun, jumlah pemotongan gaji untuk caruman sukarela yang baharu adalah tertakluk kepada kelulusan pihak UGAT.

9. Berapa lamakah tempoh masa yang akan diambil oleh UGAT untuk memulakan potongan gaji bagi Caruman Sukarela?

Tempoh masa yang akan diambil oleh UGAT untuk memulakan potongan gaji bagi Caruman Sukarela adalah tertakluk kepada penerimaan borang permohonan oleh LTAT.

Bagi permohonan yang diterima sebelum 15hb, potongan gaji bagi Caruman Sukarela akan bermula dalam bulan penggajian berikutnya. Manakala bagi permohonan yang diterima selepas daripada 15hb, potongan gaji akan diproses pada bulan kedua berikutnya.

10. Adakah LTAT menerima caruman sukarela yang dimasukkan terus ke akaun bank LTAT?

Tidak. Caruman sukarela  hanya boleh dibuat melalui potongan gaji bulanan yang akan dilaksanakan oleh UGAT.

11. Jika pencarum dipinjamkan/ditumpangkan kepada agensi lain, bagaimanakah caranya pencarum boleh meneruskan caruman mereka?

Pencarum yang dipinjamkan / ditumpangkan kepada agensi lain boleh meneruskan caruman mereka dengan mengemukakan surat pemakluman kepada LTAT yang mengandungi butiran tumpangan / pinjaman tersebut dan disertakan bersama surat tawaran / pengesahan daripada pihak majikan yang baharu. Pencarum perlu memohon kepada majikan yang baharu untuk membuat caruman melalui potongan gaji bulanan dan wang caruman dihantar ke LTAT pada setiap akhir bulan.

12. Bolehkah amaun Caruman Sukarela diubah dan bagaimanakah caranya?

Boleh. Permohonan untuk mengubah amaun boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih MyWIRA, atau dengan melengkapkan borang permohonan yang disediakan secara percuma di Kaunter LTAT atau secara muat turun dari laman web rasmi LTAT, www.ltat.gov .my.

Walau bagaimanapun, jumlah caruman bulanan dan juga bulan permulaan pemotongan gaji adalah tertakluk kepada kelulusan pihak UGAT.

13. Jika pencarum sukarela menghentikan caruman mereka, adakah caruman tersebut boleh terus dikekalkan di LTAT untuk menikmati dividen?

Pencarum sukarela yang telah menghentikan caruman mereka hendaklah mengeluarkan keseluruhan caruman dalam tempoh 12 bulan dari tarikh penerimaan caruman terakhir oleh LTAT. Kegagalan pencarum berbuat demikian akan menyebabkan akaun caruman tersebut didormankan dan tidak layak menerima dividen.

14. Bagaimanakah cara untuk mendaftar sebagai Pencarum Sukarela?

Permohonan boleh dibuat dengan melengkapkan borang permohonan yang boleh diperolehi secara percuma di Kaunter LTAT (Chulan Tower dan Jabatan Arah Rekod dan Pencen, KEMENTAH), atau dimuat turun dari laman web rasmi LTAT, www.ltat.gov.my.

Borang permohonan yang telah lengkap diisi boleh diserahkan di Kaunter LTAT, atau melalui pos ke alamat berikut :

Jabatan Perkhidmatan Pencarum
Lembaga Tabung Angkatan Tentera
Tingkat Bawah, Chulan Tower,
No. 3, Jalan Conlay,
50450, Kuala Lumpur.

Sila hubungi kami di talian 1300-38-5828 atau 012-4315828, untuk keterangan lanjut.

PENGELUARAN PERUMAHAN

1. Apakah syarat-syarat bagi membuat pengeluaran untuk tujuan membeli rumah?

Pada tarikh permohonan, pencarum:

i. telah mencapai umur dua puluh dua (22) tahun; dan

ii. telah mencarum tidak kurang daripada lima (5) tahun kepada LTAT; dan

iii. bukan seorang pemilik berdaftar apa-apa harta tak alih (rumah/tanah) iaitu pengeluaran caruman ini adalah untuk tujuan membeli harta tak alih yang pertama sahaja; dan

iv. telah membuat suatu perjanjian jual beli yang sah yang pada pendapat LTAT adalah suatu bukti yang mantap untuk membeli sesuatu harta tak alih dan Surat Perjanjian Jual Beli berkenaan hendaklah bertarikh pada atau selepas 1 Februari 1995; atau

v. telah mengambil pinjaman atas gadaian harta tak alih (rumah/tanah) itu

vi. pencarum hanya dibenar mengeluarkan caruman mereka (bahagian caruman ahli sahaja) sekali sepanjang tempoh mencarum

Pengeluaran bagi tujuan pengubahsuaian adalah tidak dibenarkan.

2. Berapa kali wang caruman boleh dikeluarkan untuk tujuan skim pembelian rumah?

Pencarum hanya dibenar mengeluarkan caruman mereka (bahagian caruman ahli sahaja) sekali sepanjang tempoh mencarum.

3. Adakah pencarum boleh mengeluarkan caruman untuk mengubahsuai rumah?

Skim pengeluaran perumahan hanyalah bagi:

i. Pembelian harta tak alih termasuk perbelanjaan sampingan seperti bayaran guaman dan duti setem; dan

ii. Pengubahsuaian yang perlu bagi mengadakan keselamatan pada harta tak alih itu (Pengeluaran bagi tujuan pengubahsuaian adalah tidak dibenarkan)

4. Berapakah jumlah yang boleh dikeluarkan?

Amaun yang boleh dikeluarkan di bawah peraturan ini hendaklah:
i) Tidak melebihi 40% daripada amaun yang ada pada kredit akaun pencarum itu;atau

ii) Tidak melebihi 10% dari harta tak alih;atau

iii) Tidak melebihi sepuluh ribu ringgit (RM10,000.00).

(Pembayaran adalah mengikut mana yang terendah).

5. Bagaimanakah permohonan pengeluaran caruman ahli untuk perumahan boleh dibuat?

Permohonan boleh dibuat melalui borang permohonan pengeluaran (LTAT/PWCA 47) yang boleh diperolehi secara percuma di kaunter LTAT atau muat turun borang dari laman sesawang LTAT www.ltat.gov.my

6. Berapa lamakah proses pembayaran bagi pengeluaran caruman ahli untuk perumahan ini?

Pembayaran akan dijelaskan dalam tempoh 3 hari bekerja selepas menerima dokumen yang lengkap memenuhi syarat pengeluaran.

PENGELUARAN PENDIDIKAN

1. Siapa yang layak untuk memohon?

Pencarum ketika tarikh memohon, sedang mengikuti peringkat pengajian tinggi (Diploma/Ijazah/Ijazah Sarjana atau PhD) di Universiti Awam Tempatan.

2. Berapa jumlah kelayakan pengeluaran yang dibenarkan?

Jumlah pengeluaran adalah tertakluk kepada jumlah yang terendah di antara berikut:
i. Jumlah yuran pendaftaran semester 1; atau
ii. Baki caruman anggota dalam akaun 2; atau
iii. Terhad kepada RM3,200.00

3. Bilakah pengeluaran boleh dibuat?

Tempoh sah pengeluaran pendidikan adalah tidak melebihi satu (1) tahun dari tarikh resit pembayaran pendaftaran semester 1. (Permohonan bagi pengeluaran pendidikan adalah terpakai hanya kepada pemohon yang telah memulakan sesi pengajian bermula 16 April 2021 sahaja).

4. Berapa kerap pengeluaran Pendidikan boleh dipohon?

Pencarum hanya dibenarkan membuat pengeluaran sekali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan.

5. Apakah dokumen yang diperlukan bagi membuat permohonan pengeluaran Pendidikan?

1. Borang permohonan Pengeluaran Pendidikan (LTAT/PWCA 49).
2. Salinan surat kemasukan ke Universiti Awam Tempatan;
3. Salinan Resit Pembayaran Pendaftaran Semester 1 (resit bayaran tidak melebihi setahun dari tarikh permohonan);
4. Salinan MyKad/MyTentera dicetak di atas kertas bersaiz A4);
5. Surat Pengesahan Akaun Bank
Setiap salinan mestilah disahkan oleh Pegawai Memerintah/Ajutan Pasukan/Pegawai UGAT/Pegawai Kaunter LTAT.

6. Jika saya adalah penerima biasiswa dari institusi lain, adakah saya layak untuk memohon?

Tidak. Hanya pencarum yang tidak menerima apa-apa biasiswa sahaja yang layak untuk memohon kemudahan pengeluaran ini.

7. Adakah saya layak memohon sekiranya saya adalah penerima pinjaman PTPTN?

Ya. Pencarum yang mendapat pinjaman dari PTPTN, layak untuk memohon.

8. Universiti manakah yang terlibat dengan pengeluaran ini?

1. Universiti Malaya (UM)
2. Universiti Sains Malaysia (USM)
3. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
4. Universiti Putra Malaysia (UPM)
5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
6. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
7. Universiti Utara Malaysia (UUM)
8. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
9. Universiti Malaysia Sabah (UMS)
10. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
11. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
12. Universiti Teknologi Mara (UiTM)
13. Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
14. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
15. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM)
16. Universiti Malaysia Pahang (UMP)
17. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
18. Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA)
19. Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
20. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

9. Berapa lamakah proses pembayaran pengeluaran Pendidikan?

3 hari bekerja setelah LTAT menerima permohonan yang lengkap.

10. Adakah tawaran belajar dari IPTS layak untuk memohon pengeluaran ini?

Tidak. Pada masa kini, pencarum yang menerima tawaran dari Universiti Awam tempatan terpilih sahaja yang layak untuk memohon pengeluaran ini.

PENGELUARAN HAJI

1. Siapa yang layak untuk memohon?

i. Pencarum yang telah mencarum sekurang-kurangnya 15 tahun di LTAT.

ii. Hanya pencarum yang telah menerima surat pengesahan tawaran bagi menunaikan fardhu haji dari Lembaga Tabung Haji (LTH) sahaja yang layak mengeluarkan wang caruman bagi tujuan ini.

2. Berapa jumlah kelayakan pengeluaran yang dibenarkan?

Tertakluk kepada jumlah caruman di dalam Akaun 2 pencarum dengan jumlah pengeluaran maksimum sebanyak RM10,000.

3. Bilakah pengeluaran boleh dibuat?

Bermula 15 April 2022 pencarum boleh membuat permohonan pengeluaran.

Walaubagaimanapun, kelulusan pengeluaran juga adalah tertakluk kepada pengesahan LTH yang mengawal dan meluluskan individu di Malaysia untuk menunaikan fardhu haji termasuk:

i. Telah mendaftar dan membuka akaun di LTH dengan jumlah minimum simpanan deposit sebanyak RM1,300.00.

ii. Telah menerima surat pengesahan tawaran dari LTH untuk menunaikan fardhu haji bagi tahun tersebut.

4. Berapa kerap pengeluaran haji boleh dipohon?

Pencarum hanya dibenarkan membuat pengeluaran sekali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan.

5. Berapa lamakah tempoh sah permohonan pengeluaran boleh dibuat?

Tempoh sah permohonan pengeluaran haji adalah satu tahun dari tarikh penerimaan surat pengesahan tawaran bagi menunaikan fardhu haji dari LTH.

6. Apakah dokumen yang diperlukan bagi permohonan pengeluaran haji?

Terdapat empat dokumen yang diperlukan bagi permohonan pengeluaran haji iaitu:

i. Borang permohonan Pengeluaran Haji (LTAT/PWCA 48);
ii. Salinan surat tawaran dari LTH bagi mengesahkan pencarum layak menunaikan fardhu haji.
iii. Salinan MyKad/MyTentera yang dicetak diatas kertas bersaiz A4.
iv. Surat Pengesahan Akaun Bank.

Setiap salinan mestilah disahkan oleh Pegawai Memerintah/Ajutan Pasukan/Pegawai UGAT/Pegawai Kaunter LTAT.

7. Berapa lamakah tempoh pembayaran kepada pencarum?

Tempoh pembayaran adalah 3 hari bekerja setelah LTAT menerima permohonan yang lengkap.

8. Adakah pembayaran dilakukan terus kepada Lembaga Tabung Haji (LTH)?

Tidak. Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank pencarum.

9. Adakah pencarum layak untuk membuat pengeluaran jika mendapat tawaran menunaikan fardhu haji dari institusi lain?

Tidak. Kemudahan pengeluaran ini hanya layak untuk pencarum yang menerima tawaran menunaikan fardhu haji dari LTH.

10. Jika pencarum telah menerima wang pengeluaran tetapi tidak dapat melaksanakan ibadah haji, adakah pencarum dibenarkan untuk memulangkan semula duit pengeluaran tersebut kepada LTAT dan sekiranya dibenarkan, bagaimanakah caranya?

Sekiranya pencarum tidak menggunakan amaun yang dikeluarkan maka pencarum boleh mengembalikan kepada LTAT amaun yang dikeluarkan dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh pengeluaran dibuat. Amaun tersebut akan dimasukkan semula oleh LTAT ke dalam akaun 2 pencarum.

PENGELUARAN 50 TAHUN

Apakah borang dan dokumen yang diperlukan bagi pengeluaran wang caruman ahli apabila pencarum mencapai usia 50 tahun?

i. Borang Pengeluaran Caruman (Pengakuan Oleh Ahli) – LTAT/PWCA 14-2/1 yang diisi oleh ahli.
ii. Surat Kenyataan Perkhidmatan dari Jabatanarah Rekod dan Pencen (JRP) yang mengesahkan mencapai umur 50 tahun.
iii. Sesalinan My Tentera.
iv. Pengesahan Akaun Bank yang aktif (Dapatkan di bank berdekatan).

Proses pembayaran caruman akan dilaksanakan dalam masa 3 hari bekerja setelah LTAT menerima dokumen lengkap daripada ahli.

TAMBAHAN CARUMAN AHLI (TCA)

1. Apakah Tambahan Caruman Ahli (TCA)?

TCA adalah satu inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh LTAT bagi memberi pilihan kepada pencarum untuk meningkatkan caruman bulanan mereka (bahagian ahli), melebihi daripada kadar yang ditetapkan di dalam Akta Tabung Angkatan Tentera (Akta 101) iaitu, 10% daripada gaji bulanan.

2. Apakah objektif TCA ini diperkenalkan?

TCA ini diperkenalkan bagi memberi fleksibiliti kepada pencarum untuk menambah simpanan mereka seiring dengan misi LTAT iaitu untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi para pencarumnya selepas persaraan.

3. Berapakah kadar minimum dan maksimum TCA?

Kadar minimum TCA adalah sebanyak RM25 dan sebarang penambahan hendaklah dibuat  dalam gandaan RM5 serta tiada had maksimum.

4. Jika saya menyertai TCA, adakah kadar Caruman Kerajaan saya juga akan berubah?

Tidak. Kadar Caruman Kerajaan (yang disumbangkan oleh Kerajaan) adalah kekal pada kadar 15% daripada gaji bulanan.

5. Adakah TCA layak untuk mendapat dividen atau keuntungan yang sama seperti caruman Wajib Ahli?

Ya. TCA juga layak menerima dividen atau keuntungan  yang sama seperti caruman Wajib Ahli.

6. Adakah jumlah amaun caruman TCA yang dipohon adalah amaun yang tetap dan tidak boleh diubah?

Tidak. Pencarum boleh memohon untuk membuat perubahan TCA tetapi tertakluk kepada kelulusan UGAT berdasarkan kemampuan aliran tunai pencarum.

7. Berapa lamakah tempoh masa yang akan diambil untuk permulaan potongan gaji untuk TCA oleh UGAT?

Permohonan potongan gaji bagi TCA hendaklah dikemukakan kepada LTAT sebelum 15hb pada setiap bulan bagi membolehkan tindakan penambahan/pengurangan caruman dilaksanakan dalam bulan penggajian berikutnya. Permohonan yang diterima selepas daripada 15hb akan diproses pada bulan kedua berikutnya.

8. Adakah pencarum boleh menambah atau mengurangkan caruman TCA?

Ya. Pencarum adalah dibenarkan untuk membuat penambahan atau pengurangan terhadap caruman TCA. Walau bagaimanapun, pengurangan caruman TCA mestilah tidak mengurangi kadar caruman wajib ahli iaitu 10% daripada gaji bulanan pencarum.

9. Berapa kerapkah pencarum boleh menambah atau mengurangkan caruman TCA mereka?

Pencarum adalah dibenarkan untuk menambah atau mengurangkan caruman TCA mereka pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, sebarang perubahan pada kadar caruman TCA hanya boleh dibuat selepas 3 bulan permohonan terdahulu diluluskan, tertakluk kepada kelulusan Jabatan Arah Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT).

10. Bolehkah saya mengeluarkan wang TCA sekiranya terdapat keperluan?

Tidak. Pengeluaran wang TCA adalah tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun, pencarum mempunyai pilihan sama ada mengurangkan jumlah TCA atau memohon untuk memberhentikan arahan potongan gaji bagi TCA, dengan menggunakan borang yang sama semasa memohon TCA.

11. Adakah TCA ini diwajibkan kepada semua pencarum LTAT?

Tidak. TCA adalah bersifat pilihan kepada pencarum wajib LTAT.

12. Siapakah yang boleh memohon TCA?

Permohonan TCA terbuka kepada semua pencarum wajib (askar-lasykar dan pegawai) LTAT.

13. Bolehkah saya memohon TCA sekiranya saya seorang pencarum sukarela?

Tidak. TCA ini adalah untuk pencarum wajib sahaja.

14. Bilakah permohonan TCA boleh dibuat?

Permohonan TCA boleh dibuat pada bila-bila masa bermula 2 Januari 2024.

15. Bagaimanakah cara untuk membuat permohonan TCA?

Pencarum boleh memohon TCA dengan memuat turun borang TCA melalui laman web rasmi LTAT iaitu www.ltat.gov.my atau dapatkannya di Kaunter LTAT.  Borang permohonan yang telah lengkap diisi boleh dikemukakan kepada LTAT sama ada secara serahan di Kaunter LTAT atau melalui pos ke alamat berikut :

Jabatan Perkhidmatan Pencarum
Lembaga Tabung Angkatan Tentera
Aras Bawah, Chulan Tower,
No. 3, Jalan Conlay,
50450, Kuala Lumpur.